Kewajipan Memakai Tudung


Bismillah, Wassolatu Wassalam Ala Rasulillah SAW.
Artikel ini adalah tentang kewajpan memakai hijab bagi seorang muslimah, dan bagaimana sifat hijab yang dikehendaki syarak.




a. Definisi Hijab

Dari segi Bahasa Arab, kalimah ‘hijab’ membawa makna ‘halangan’. Hijab dinamakan demikian kerana ia menghalang wajah wanita daripada dipandang orang lain.
Dari segi syarak pula, hijab ialah pakaian yang diperintahkan kepada wanita memakainya untuk menutup anggota-anggota yang wajib ditutup dari sudut syarak.b. Hukum Memakai Hijab
Ulama bersepakat tentang diwajibkan memakai hijab ke atas setiap wanita muslimah yang telah mukallaf. Dalil kewajipan ini adalah seperti berikut:


1. Firman Allah Taala:

يأيها النبي قل لأزواجك وبناتك ونساء المؤمنين يدنين عليهن من جلابيبهن

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin supaya melabuhkan ke atas mereka daripada jilbab-jilbab mereka.” (surah Al-Ahzab:59)

2. Firman Allah Taala:
وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman supaya mereka menundukkan daripada pandangan mereka, menjaga kemaluan-kemaluan mereka, dan jangan mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya.” (surah Al-Nuur 31)

Manakala bagi wanita bukan Islam, mereka tidak diperintahkan menutup aurat kerana perintah tersebut hanya bagi wanita-wanita beriman. Ini kerana orang-orang bukan Islam tidak dibebankan dengan perkara-perkara furu’ dalam Islam seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Begitu juga dengan memakai hijab, mereka tidak diwajibkan mematuhinya pada hukum dunia. Namun, pihak berkuasa dalam sesebuah negeri perlu sentiasa memantau perlakuan mereka agar tidak mendedahkan aurat secara melampau atau berpakaian tidak senonoh sehingga boleh mengundang pelbagai gejala sosial kepada masyarakat.

c. Cara Pemakaian Hijab

Dalam tajuk ini, akan dibincangkan bagaimana ciri-ciri hijab seorang muslimah yang ditetapkan oleh syarak. Adakah diwajibkan menuntup keseluruhan badan termasuk muka dan tapak tangan ataupun memadai dengan memakai tudung labuh yang mendedahkan muka.Di sini akan dibawakan pendapat ulama dan dalil yang menjadi sandaran mereka.

Pendapat ulama

Terdapat dua pendapat ulama dalam masalah ini;

i) Pendapat pertama

Seluruh badan wanita adalah aurat, maka diwajibkan mereka menutupnya termasuk muka dan tangan. Mendedahkan mana-mana anggota tubuh mereka adalah haram kecuali dalam situasi terpaksa atau keperluan. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali.

ii) Pendapat kedua

Seluruh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan kedua tangannya. Oleh itu dibenarkan baginya mendedahkan kedua-dua anggota ini. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi, Malik, dan Syafie. Ia juga satu riwayat dalam mazhab Hanbali.

• Hujah

i) Hujah pendapat pertama
Mereka yang mengatakan seluruh badan wanita adalah aurat dan wajib menutupnya termasuk muka dan tangan berhujah dengan dalil-dalil berikut:

1. Firman Allah Taala:

يأيها النبي قل لأزواجك وبناتك ونساء المؤمنين يدنين عليهن من جلابيبهن

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin supaya melabuhkan ke atas mereka daripada jilbab-jilbab mereka.” (surah Al-Ahzab:59)

Penjelasan dalil

Ibnu Jarir Al-Thabari mengatakan,
“Allah Taala memerintahkan isteri-isteri orang Islam apabila mereka keluar daripada rumah kerana keperluan maka hendaklah menutup muka-muka mereka daripada atas jilbab-jilbab mereka, dan hendaklah mereka menampakkan satu mata sahaja.”

Daripada Ibnu Sirin, beliau telah bertanya Ubaidah bin Al-Harith tentang ayat ini lalu beliau menjawab, “(menutup) dengan baju” lantas beliau menutup kepala dan mukanya dengan bajunya, dengan mendedahkan salah satu daripada dua matanya.

2. Firman Allah Taala:

وإذا سألتموهن متاعا فاسألوهن من وراء حجاب
Maksudnya: “Dan jika kamu ingin meminta daripada mereka sesuatu barang, maka mintalah daripada belakang tabir”. (surah Al-Ahzab: 53)

3. Daripada Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
المرأة عورة
Maksudnya, “Perempuan adalah aurat”.

Hadis riwayat Al-Tirmizi (no hadis:1173) katanya: “Ini adalah hadis hasan gharib” dan hadis ini dihukum sahih oleh Ibnu Hibban.

Lihat Sahih Ibnu Hibban (hadis no:5598 ) Al-Haithami mengatakan ‘perawi-perawinya adalah dihukum thiqah’. Majmak Zawaid (2/35).

Penjelasan dalilHadis ini menjelaskan bahawa wanita adalah aurat, tanpa mengecualikan mana-mana anggotanya. Ini menunjukkan muka dan tangan wanita juga adalah aurat.

4. Daripada Ummu Salamah r.a. katanya: “Ketika aku duduk di sisi Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersama-sama dengan Hafsah, lalu datang Ibnu Ummi Maktum meminta izin (untuk masuk), lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

احتجبا منه
Maksudnya: “Berhijablah daripadanya”.

Hadis riwayat Al-Tirmizi (no hadis:2778), dan Abu Daud (no hadis:4112). Kata Al-Tirmizi, “Hasan sahih”.

5. Daripada Aisyah r.a. katanya:

كان الركبان يمرون بنا ونحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم محرمات فإذا جازوا بنا سدلت إحدانا جلبابها من رأسها على وجهها فإذا جاوزونا كشفناه
.

Maksudnya: “Mereka yang berkenderaan melintasi kami tatkala kami sedang berihram bersama-sama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Apabila mereka melalui kami, maka salah seorang kami menutup mukanya dengan melabuhkan jilbab dari atas kepala. Apabila mereka telah melepasi kami, kami akan membukanya”. Hadis Riwayat Abu Daud (no hadis:1833), dan Ibnu Majah (no hadis:2935).

i) Hujah pendapat kedua
Manakala ulama yang berpendapat harus didedahkan muka dan kedua tangan berhujah dengan dalil-dalil berikut:

1. Firman Allah Taala:

وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman supaya mereka menundukkan sebahagian daripada pandangan mereka, menjaga kemaluan-kemaluan mereka, dan jangan mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung-tudung mereka ke atas bahagian dada mereka. ” (surah Al-Nuur 31).

Penjelasan dalil
Ayat ini memberi maksud muka dan tangan wanita bukan aurat, kerana:• Ayat ini mengecualikan ‘apa yang zahir daripadanya’. Yang dimaksudkan dengan yang zahir ini ialah muka dan tangan sebagaimana tafsiran sebahagian sahabat: Ibnu Abbas dan Aisyah, dan tafsiran beberapa tabiin seperti Atho’, Al-Dhahhak, dan Said bin Jubair.

• Ayat “hendaklah mereka melabuhkan tudung-tudung mereka ke atas bahagian dada mereka” menunjukkan tidak wajib menutup muka. Kerana yang diperintahkan ialah menutup bahagian dada, bukannya muka. Ini dikuatkan lagi dengan kalimah khimar dalam Bahasa Arab bermaksud pakaian yang menutup kepala dan tengkuk, sebagaimana hadis menyebut maksudnya “Allah tidak menerima sembahyang seorang wanita yang telah haid (baligh) melainkan dengan (memakai) khimar”.
2. Daripada Aisyah r.a. katanya: “Bahawa Asma’ telah masuk kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu baginda berpaling daripadanya dan bersabda:

يا أسماء إن المرأة إذا بلغت سن المحيض لم يصلح أن يرى منها إلا هذا وهذا

Maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita apabila telah mencapai umur haid (baligh) maka tidak harus diperlihatkan daripadanya kecuali ini dan ini” sambil baginda menunjukkan ke arah muka dan dua tangannya.Hadis riwayat Abu Daud (no hadis:4104)

3. Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya:

سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن نظرة الفجأة فأمرني أن أصرف بصري
Maksudnya: “Aku bertanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tentang pendangan (terhadap wanita) secara tiba-tiba, lalu baginda memerintahkan aku supaya memalingkan pandangan”. Hadis riwayat Muslim (no hadis:1699)

Penjelasan dalil
Hadis ini menunjukkan bahawa muka wanita bukan aurat. Al-Qadhi Iyadh berkata “Ulama mengatakan di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tidak wajib bagi wanita menutup mukanya ketika berjalan. Ia cuma satu amalan sunat yang digalakkan”.

Kesimpulan
Inilah ringkasan pendapat ulama beserta dalil-dalil mereka di dalam masalah menentukan aurat wanita. Di sini penulis tidak menyebut pendapat yang dilihat sebagai lebih kuat disebabkan khilaf di dalam masalah ini adalah khilaf yang agak kuat, dan sukar untuk ditarjihkan.

Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa (Lajnah Daimah lil Buhuth al Ilmiyyah wal Ifta’) di dalam fatwa-fatwa yang dikeluarkan, menegaskan bahawa seluruh badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup, tanpa mengecualikan tangan dan muka. Sebagai contoh, lihat fatwa no 5128.

Manakala Majmak Feqah Islami di dalam ketetapan yang dibuat di dalam persidangan yang berlangsung di Amman, Jordan pada 11-16 Oktober 1986, menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat Islam Washinton menetapkan bahawa jika tidak selamat daripada fitnah, maka wajib menutup muka dan tapak tangan. Tetapi dalam keadaan aman daripada fitnah, harus mendedahkan muka dan tapak tangan, mengikut pendapat jumhur ulama iaitu muka dan tapak tangan bukan aurat.

Namun, berpegang dengan pendapat pertama adalah lebih selamat, lebih ihtiyath dan lebih memelihara agama seorang wanita, Wallahu A’lam.

1 comment:

labspe said...

يا أسماء إن المرأة إذا بلغت سن المحيض لم يصلح أن يرى منها إلا هذا وهذا

هذا الحديث ضعيف ومن غير المعقول أن تفعل أسماء رضي الله عنها هذا الفعل الغير محتشم في هذا السن وفي بيئة محافظة

this hadith is weak and we can not consider it because it is not make a sense that Asma will wear such a transparent cloths she had been grown up at Abu baker house and in a religious community

http://dorar.net/enc/hadith/يا%20أسماء%20إن%20المرأة/pt

before posting any prophet Hadith make sure it is not weak or is being Fabrication

thanks and Allah bless you

~ Nota ~

Make your own at ProfilePitstop.com