Maafkan Mama Sayang...

Assalammualaikum...

pada pagi ini ana nak kongsi sedikit kisah yang ana baca ..

Mira mengelap badannya yang basah dengan tuala biru. Apabila dirasakan badannya sudah kering, Mira belari-lari anak menuju ke almari Mickey Mouse yang terletak bersebelahan katilnya.Dibuka almari yang berwarna coklat, Mira merenung sejenak melihat baju-baju yang tergantung. Mira membelek......................dua tiga helai baju, akhirnya Mira memilih gaun merah hati separas lutut. Baju itu sebenarnya baju Kak Diba, tapi kak Diba tak muat lagi pakai baju itu. Bukan baju ini saja milik Kak Diba, malah hampir semua baju yang tergantung dalam almari ini adalah baju kak Diba. Kak Diba besar sikit daripada Mira. Kak Diba tinggi, kalau Mira jenjeng kaki baru sama tinggi dengan Kak Diba. Pantas tangan Mira menyarung gaun itu dan Mira menggayakannya di hadapan cermin. Kemudian Mira mencapai sikat, menyisir rambutnya yang pendek. Bedak 'Baby Johnson' yang terletak di atas kepala katilnya dicapai, digoncang bedak itu dan dituangkan di atas telapak. Bedak itu disapu ke mukanya yang agak gelap. Kulit kak Diba tak gelap, kulit kakaknya yang seorang itu putih, putih macam kulit mama. Agaknya sebab itu mama sayang dan selalu cium kak Diba. Selesai menyapu bedak, Mira pantas menuruni anak tangga menuju ke pintu besar.Mira nak tunggu mama.

Semalam Mira dengar mama cakap dengan kak Diba, nak bawa Kak Diba pergi ke KFC. Mama kata nak sambut hari lahir Kak Diba. Kata Kak Diba semalam, mama beli kek coklat Teddy Bear untuknya. Mira dapat bayangkan betapa seronoknya dapat makan kek. Tiap-tiap tahun mama belikan kek untuk Kak Diba. Atas kek itu mama letakkan lilin. Tahun lepas, Mira bilang atas kek Kak Diba, ada tujuh batang. Kak Diba tiup api lilin itu sehingga padam. Masa Kak Diba nak tiup lilin orang akan nyanyi. Bila lilin dah padam orang tepuk tangan, kemudian Kak Diba pun potong kek. Kak Diba dapat banyak hadiah. Macam-macam hadiah kak Diba dapat. Tapi mama tak pernah beli kek untuk Mira, Mira pun nak tiup lilin juga, macam Kak Diba, tapi mana ada kek. Mira pun nak dapat hadiah macam kak Diba. Kadang-kadang Mira ambil kek muffin yang mama beli kat pasaraya bawa masuk dalam bilik, Mira kunci pintu bilik dari dalam kemudian Mira letakkan lilin atas kek kecil itu, kemudian Mira pun tiup. Tapi Mira langsung rasa tak seronok. Tak macam Kak Diba. Tak ada orang nyanyi dan tak dapat hadiah pun.

Mira terdengar bunyi enjin kereta memasuki halaman, Mira terus bangun dan berjinjit memulas tombol pintu kayu yang berwarna coklat. Pintu terbuka, Mira lihat mama dan Kak Diba keluar dari kereta. "Hai Mira," sapa kak Diba sambil menanggalkan kasut sekolahnya. Mira hanya tersenyum."Diba! pergi cepat mandi, nanti kita nak pergi KFC." Kata mama sambil berlalu masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan Mira. Mira menuruti mama. Mama ke dapur, Mira ke dapur. Mama minum air, Mira tunggu, kemudian mama naik ke atas, Mira pun naik juga. Mama jeling Mira, mungkin rimas kerana Mira asyik mengekori mama. Mira buat selamba je. Mira tetap ikut mama, kalau Mira tak ikut ke mana mama pergi nanti Mira kena tinggal lagi. Mira tak nak kena tinggal. Kalau kena tinggal, tak dapatlah Mira makan kek Teddy Bear coklat, tapi itu tak penting, yang penting Mira nak pergi KFC. Mira selalu dengar Kak Diba cerita seronok sangat pergi KFC. Lina dan Aishah anak makcik Eton pun selalu beritahu mereka seronok kalau dapat ke KFC, dapat makan ayam, kentang goreng, ada permainan dan macam-macam lagi. Mira hanya terlopong mendengar cerita Kak Diba, Lina dan Aishah. Mira teringin benar nak ke sana. Lagipun Mira selalu tengok dalam TV iklan KFC, ayamnya sedap. Kalau tak sedap, masakan sampai mereka menjilat jari.

Mama masuk bilik, Mira pun masuk sama."Mira, kenapa ikut mama aje ni?," nyaring suara mama. Mira tak rasa takut pun kerana Mira dah biasa sangat kena marah dengan mama. Mira diam, hanya tunduk dan duduk di birai katil mama. Mama kemudiannya masuk ke bilik air. Bilik mama besar, ada tv, ada kerusi, katil mama pun besar, tak macam katil Mira, kecil aje.

Berhadapan dengan katil mama ada sebuah meja yang dilengkapi cermin besar, atas meja tu ada macam-macam botol dan bekas. Ada gincu, ada bedak, ada celak. Yang Mira hairan celak mama macam pencil Mira dan Kak Diba. Mira ingat lagi mama piat telinga Mira, dan rotan punggung Mira kerana gincu yang baru mama beli patah, tapi sebenarnya bukan Mira yang buat, Kak Diba yang patahkannya."Mama, tolong ikat tali belakang baju Diba," kak Diba tiba-tiba muncul. Cantiknya baju Kak Diba. Baju yang Kak Diba pakai tu, mama beli semalam. Warna putih dan ada sedikit corak."Nanti kejap Diba, mama pakai baju dulu." Mama baru keluar dari bilik air, kemudian mama meluru ke almari besar, mama membuka almari, memilih baju. Banyak betul baju mama, macam-macam warna. Mama capai blaus dan seluar panjang berwarna biru lembut.Setelah siap pakai baju, mama ikat tali baju kak Diba. Kemudian mama pimpin tangan Kak Diba ke meja soleknya. Mama ambil sikat dan menyisir rambut kak Diba yang panjang melepasi bahu. Mama tak pernah pun sikat rambut Mira. Hanya Mak Mah saja yang kadang-kadang menyikat rambut Mira. Mama kemudian ikat rambut Kak Diba, mama selitkan reben di atas Kak kak Diba. Kemudian mama selitkan juga pin rama-rama di rambut Kak Diba. Bergerak-gerak rama-rama itu. Mama ambilkan bedak dan sapu di Kak kak Diba, kemudiannya menyapu bedak, gincu dan celak. Setelah siap, mama capai beg tangan yang warnanya sama dengan baju mama.

Mama pimpin tangan Kak Diba menuruni tangga. Mira ikut dari belakang. Sampai di muka pintu Mira berlari pantas memintas mama dan Kak Diba menuju kereta Wira biru gelap, di laman."Nak pergi mana ni, Mira?" Mira diam dan semakin merapati kereta dan memegang pembuka pintu kereta. "Diba masuk." Mama membuka pintu depan."Biarlah Mira ikut kita mama.""Tak payah! menyusahkan dan buat malu saja," tengking mama dan kemudian memegang kedua belah pergelangan tangan Mira dan menyeret Mira mejauhi kereta. Mira meronta minta dilepaskan gengaman tangan mama. Makin kuat Mira meronta makin kejap tangan mama memegang lengan kecilnya itu."Eee degilnya budak ini. Mama kata masuk... masuk." Mira geleng kepala."Mak Mah, Mak Mah ambil Mira ni...," lantang suara mama memanggil Mak Mah. Mira ditariknya ke muka pintu. Mak Mah yang agak gempal itu berlari terkedek-kedek. Mak Mah pegang Mira, Mira meronta mahu dilepaskan. Mak Mah peluk Mira."Nanti Mak Mah bawa Mira pergi kedai, kita beli aiskrim ye sayang..." Mira meronta lagi, dia tak nak pergi kedai, dia nak pergi KFC. Mira dah puas pergi kedai tepi jalan sana tu, Mira dah jemu makan aiskrim. Mira nak makan aya goreng macam dalam tv. Kereta biru tua mama meluncur laju meninggalkan Mira dan Mak Mah.Air mata Mira mengalir, Mira meronta lagi. Sampai hati mama tak ajak dia, Mira leraikan pelukan Mak Mah dan berlari naik ke biliknya. Mak Mah cuma melihat saja.

Di hatinya terselit rasa simpati terhadap anak majikannya yang seorang ni. Mak Mah tahu puannya tak suka Mira. Bagi majikannya itu, kelahiran Mira seolah-olah membawa sial yang merampas sgala kebahagiaan yang dimilikinya.Mira dilahirkan bisu 6 tahun lalu. Kehadiran Mira menjadi punca perpisahan majikannya dengan suami. Rumahtangga yang dibina tanpa restu keluarga itu terus berantakan dengan kelahiran Mira. Encik Rashid tidak dapat menerima kecacatan Mira dan menuduh bahawa kecacatan berpunca dari Puan Maria. Keluarga Encik Rashid juga cuba menangguk di air yang keruh, menghasut agar Rashid meninggalkan menantu bukan pilihan mereka. Akhirnya Encik Rashid berkahwin lain dan meninggalkan Puan Maria. Penceraian mereka memberi pukulan hebat kepada Puan Maria. Segala kemarahannya dihamburkan kepada Mira yang tak pernah mengerti apa-apa. Si kecil itulah tempat dia melepaskan segala amarahnya. Kadang-kadang Mak Mah cuba menasihati majikannya itu, tapi nasihatnya ibarat mencurah air di daun keladi. Lagipun Mak Mah sedar dia cuma orang gaji, mana layak menasihati majikannya itu.

Mira menangis teresak-esak di katil. Segala benda di atas katil dibalingnya. Dia betul-betul rasa benci pada mamanya. Sampai hati mama meninggalkannya. Mama dah tak sayangkannya lagi. Memang tak pernah sayangkannya. Mama tak pernah beli baju untuknya. Mama tak pernah beli mainan atau buku untuknya. Mama cuma beli untuk Kak Diba seorang saja. Mama tak pernah cium pipinya. Yang mama cium hanya pipi gebu Kak Diba seorang. Mama tak pernah mendukungnya, jauh sekali membawanya berjalan-jalan. Cuma sekali, itupun tak sempat makan, mama telah menarik tangannya dan Kak Diba keluar dari restoran. Mira tak tahu kenapa, tapi yang pasti dan Mira lihat semua orang pandang ke arah mama, Kak Diba dan Mira. Mereka akan menjeling pada Mira bila Mira bercakap menunjukkan isyarat tangan. Mereka pandang dan berbisik-bisik. Lepas tu mama bawa Mira dan Kak Diba sebelum makanan terhidang.Mata Mira terpandang tabung berbentuk rumah yang terletak di kepala katilnya. Dicapainya tabung pemberian Mak Mah itu, Mira cuba membuka penutup tabung tersebut. Setelah gagal membukanya, Mira berasa geram sangat lalu menghempaskannya ke lantai. Berkecai tabung rumah yang diperbuat daripada tanah liat itu. Bertaburan duit. Mira pantas mengutip duit yang bertaburan itu dan kemudiannya memasukkan ke dalam poket gaunnya.Kemudian pantas Mira keluar dari biliknya dan berjalan berdengket-dengket menuruni anak tangga. Di hujung anak tangga, mata MIra melilau mencari kelibat Mak Mah. Mira tak nak bertembung dengan Mak Mah, dia tak nak rancangannya terhalang lagi. Perlahan-lahan Mira merapati pintu dan membukanya lalu keluar menuju ke arah jalan besar.

Mak Mah mengesat peluh yang mengalir didahinya dengan hujung lengan baju kurung Kedah. Letih betul rasanya hari ni, mana tidaknya, banyak betul kerja yang perlu dibereskan. Dua hari dia bercuti, membukit baju-baju tak di basuh, bertimbun pinggan mangkuk dalam sinki. Itu belum lagi sampah yang lain."Mana si Mira ni... senyap je. Biasanya petang begini Mira akan merengek nak itu, nak ini," bisik Mak Mah sendirian. "Tidur agaknya," teka Mak Mah sambil mengambil vakum untuk membersih permaidani di ruang tamu yang telah dihinggapi habuk.Terkejut Mak Mah apabila melihat pintu besar ternganga luas. Ditutupnya pintu itu kemudian dia bergegas ke tingkat atas."Mira, Mira..." jeritnya. Tiada sebarang jawapan. Mak Mah menjengah bilik Mira. Terkejut Mak Mah melihat serpihan tabung Mira bertaburan. Hatinya diserbu rasa bimbang. Sejurus kemudian terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Mak Mah pantas turun dan bergegas mendapatkan puannya. Belum sempat Puan Maria menanggalkan kasut Mak Mah menerpa."Puan, Mira dah tak ada dalam biliknya. Dia dah lari.""Lari? Mak Mah dah cari?""Dah, tabung duitnya habis pecah.""Macam mana Mak Mah jaga dia?" Puannya mula naik angin."Tadi Mak Mah membasuh, sedar-sedar masa Mak Mah nak bersihkan karpet ni, Mak Mah tengok pintu terbuka. Bila Mak Mah naik atas, Mira dah tak ada." Kian getar suara Mak Mah berkata. Kelopak matanya mula digenangi air."Ke mana pula budak ni.""Mira mana Mak Mah?" tegur Diba yang sedang memegang plastik yang sarat dengan hadiah.

"Assalamualaikum." Tiba-tiba terpancul Encik Latif suami makcik Eton di muka pintu."Wa'alaikumsalam. Masuklah." Encil Latif melangkah masuk."Puan Maria, saya harap Puan Maria banyakkan bersabar. Mira... Mira...""Kenapa dengan Mira?" Hati puan Maria diserang kebimbangan.

"Mira kemalangan, dia cedera parah. Saya terlanggar dia dekat hujung simpang sana tu," kata-kata Encik Latif bagaikan menghempas batu ke kepalanya. Berpinar-pinar pandangannya."Mira... Miraaaaa...."

"Mama... Mama..." Puan Maria terasa bahunya digoncang. Bila dia membuka matanya. Diba dan Mak Mah berada di sebelahnya.

"Mama, Mira dah balik, tu ada kat luar. Tadi pakcik hantar. Tapi Mira tidur je dari tadi." Diba bersuara memberitahu mamanya.

"Tidur?! Macam mana Mira Mak Mah?"

"Sabarlah Puan Maria. Tuhan lebih sayangkan dia, sabarlah."

"Tidak... Tidak Mak Mah..."Puan Maria pantas menerpa ke ruang tamu. Dilihatnya tubuh kecil yang pernah dibencinya kaku terbaring menghadap Ilahi. Puan Maria terjelepuk.

"Maafkan mama, sayang..

No comments:

~ Nota ~

Make your own at ProfilePitstop.com