SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA ...


Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.


Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.


Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.


Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.


Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.


Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.


Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.


Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.


Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan pergi melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Malam Kesenian Islam

KEM INTESIF HAFAZAN AL-QURAAN....
____________________________________

Ni semua gambar waktu malam kesenian Islam kat Pusat Pengajian Islam An-Nuur.. waktu ni semua adik2 kem menunjukkan bakat2 mereka.. hem suara masing2 mengalah penyanyi nombor 1, berbakat rupa2nya diaorang ni.. tapi banyak kumpulan 2, kumpulan Aina juga yang menang, 2 yang Aina sampai sekarang tak habis2 lagi bangga,sololah katakan..

banyak lagi gambar letak satu je lah dulu, len kali pulak yea..

Esok Raya ??..

betul ker esok raya ??? hem.. sekejap je masa berlalu.. ana rasa baru je raya AidilFitri, esok dah nak raya AidilAdha plak.. tahun ni ana raya kat umah je, tak balik kampung pun sebab Abah ana ngan Adik2 g wat Korban kat Kemboja.. tahun lepas abah pun wat korban kat sana.. kat umah ni sunyi sangat sebab pelajar sume balik kampung masing2..

Tak tahu la ada tak orang wat korban kat sini rasa2 macam tak de..hemm esok nak masak apa yea?? umi ana cadangkan masak nasi tomato atau nasi minyak.. mesti best kalau umi buat nasi tomato..

RESEPI KESIHATAN ALA ISLAM

Seorang tabib dihantar oleh penguasa Mesir ke Medinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorangpun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Medinah.

Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, "Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib?" Nabi menjawab "Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib." Tabib bertanya lagi, "Tapi mengapa sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?" Nabi menjelaskan "Sebab penduduk Medinah tidak ada yang sakit." Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, "Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit." Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Medinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Medinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorangpun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.

Didorong oleh perasaan ingintahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata, "Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Medinah sihat-sihat belaka?" Nabi menerangkan, "Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu."

MORAL & IKTIBAR

Petua untuk sihat: Makan ketika lapar. Berhenti sebelum kenyang
Agama Islam suatu agama yang syumul; ia mencakupi bidang jasmani dan rohani
Semua kata-kata Nabi adalah BENAR belaka; tidak boleh mempertikannya.
Berpegang kepada ajaran Nabi membawa keselamatan bukan saja di akhirat malahan di dunia juga.

Bertawakkal kepada Allah menjauhkan diri dari menyerahkan nasib kepada selain Allah
Menyendatkan perut dengan pelbagai makanan yang banyak menyebabkan kesihatan terganggu dan mengurangkan kecerdasan otak dan jiwa.
Sebaliknya mengosongkan perut dengan amalan puasa boleh melahirkan ketajaman otak dan kejernihan jiwa.

Para Nabi dan orang-orang soleh memilih lapar di dunia supaya kenyang di akhirat.

Kita Sebahagian Daripada IbuBapa


APA SUMBANGAN KITA TERHADAP IBUBAPA

Ibu bapa merupakan orang yang wajib kita hormati dan taati.Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Quran dan Hadith. Mengecilkan hati, melawan ataumengherdik keduanya dianggap sebagai derhaka.

Menderhaka kepada ibubapa adalah satu dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga; meskipun banyak beribadat kepada Allah. Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibubapa.

Dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw bersabda bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa. Ini bermakna jika ibubapa suka kepada kita, Allah turut meredhai kita. Sebaliknya jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut murka kepada kita.

Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah tentang perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malahan dalam dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya. Jelas ibubapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita.

Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya.

Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan

taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda

"Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa pagi lagi telah menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka".

" Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala tersebut. Inilah sahaja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.

Akhirnya, ingatlah pesanan Nabi saw:

"Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibubapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya." "Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibubapa tidak akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka kepada mereka tidak akan masuk syurga."

Dunia Hanyalah Tumpangan Sementara..


AKHIRAT JUA YANG ABADI

_________________________


Hidup di dunia adalah tumpangan sementara waktu saja. Lepas itu kita akan menginap di satu tempat yang kekal di akhirat iaitu syurga atau neraka.

Di dunia, kita ditugaskan mencari seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. Begitu juga dengan kesusahan di dunia - sementara dan palsu.

Perlulah kita fahami bahawa kesenangan di dunia bukan betul-betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi bala, sementara kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan pula. Dunia adalah tempat kita ditipu dan menipukan.
Akhirat sahaja tempat yang kekal di mana kesenangannya adalah mutlak 100% dan kesusahannya juga 100%. Menyedari hakikat ini, perlulah kita menyediakan perbekalan untuk satu perjalanan yang sangat jauh. Kekurangan bekalan akan amat menyulitkan perjalanan kita.
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering lupa akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. Lantaran itu Allah seringkali memberi peringatan (notis) supaya kita tidak lupa akan matlamat penghijrahan kita ke alam Baqa'. Notis demi notis dikenakan ke atas diri kita, tetapi kita tidak faham-faham atau tidak erti bahasa dan gembira malah semakin besar tawanya. Kalau TEN memberi notis pemotongan elektrik, kita menjadi kelam-kabut, tetapi bila Allah menghantar notis, kita buat acuh-tak-acuh saja.

Nabi Musa pernah memberitahu Malaikat supaya segera memberitaunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitaunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan.

Di antara peringatan (notis) yang dihantar oleh Allah ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih, gigi menjadi rongak, mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang, badan segar menjadi layu, kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin kendur dan sebagainya.


Ada 3 kategori manusia dalam menghadapi kematian:

Pertama : Bila teringat akan mati, terasa lapang hatinya. Hatinya menjadi suka. Kelompok manusia dalam kategori ini ialah mereka yang benar-benar berilmu dan telah penuh keimanannya terhadap Allah dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah. Ini ialah maqam tertinggi yang dimiliki oleh para wali.

Kedua: Apabila teringat mati, hatinya menjadi takut, kecut dan gementar. Mereka ialah orang-orang kafir yang tidak sanggup berjumpa dengan Allah. Mereka seumpama binatang-binatang liar kepunyaan seseorang. Apabila tuannya hendak mengambilnya, dia cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap secara paksaan. Kematian mereka amat menghinakan.

Ketiga: Golongan ini merasa dukacita dan takut terhadap kematian. Tetapi apabila telah mengalami mati, dia berasa sukacita. Malahan jika diberi pilihan, mereka tidak akan mahu kembali ke dunia semula. Mereka telah dapat mengecapi dan menikmati alam yang lebih kekal dan lebih baik daripada alam fana yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan. Golongan ini ibarat seorang bayi yang baru lahir dari perut ibunya. Semasa akan keluar, bayi akan menangis kerana menyangka hidup di dalam perut ibunya lebih baik dan nyaman daripada alam dunia. Tetapi apabila telah lahir di dunia ini, dia tidak akan mahu kembali ke dalam perut ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang beriman yang belum mencapai taraf tinggi atau orang mukmin biasa.

Marilah kita berlumba-lumba mencari bekalan untuk akhirat. Janganlah kita asyik berlumba-lumba mencari bekalan dunia sehingga terlupa pertemuan kita dengan Allah. Kematian hanya penghijrahan atau perpindahan alam; berpindah dari negeri binasa ke negeri yang kekal abadi. Allah telah menghantar banyak notis kepada kita dan jadikanlah ia sebagai cemeti untuk menyedarkan diri tentang kematian yang sudah tentu akan menemui kita.

Wallahu 'Alam.

ALLAH ADA, ALLAH MELIHAT

Pengetahuan pertama yang patut diberi kepada anak ialah ilmu Tauhid


- pengesaan terhadap Allah diikuti dengan pengenalan terhadap Nabi Muhammad saw. sesuai dengan konsep 'awaludin makrifatullah' atau awal-awal agama ialah mengenal Allah.


Dalam usaha menerapkan jiwa tauhid ini, seorang bapa mengajar anaknya supaya mengulang beberapa kali ayat berikut "Allah ada, Allah melihat". Si anak tadi terus menjadikannya seperti wirid dengan mengulang berkali-kali ungkapan "Allah ada, Allah lihat". Kalau tak dapat diucapkan dengan mulut, ia dilintaskan di dalam hati.




Pada satu hari, si-bapa dan anaknya berjalan-jalan di sebuah dusun buahan jirannya. Dia ternampak buah rambutan sedang masak di sebuah pokok. Teringin di hatinya untuk mengambil beberapa tangkai lalu dia pun menyuruh anaknya memanjat. Sebelum memanjat dia mengingatkan anaknya supaya meneriaknya jika ternampak ada orang menghala ke situ. Si anak yang taat itu pun memanjat sebagaimana yang disuruh oleh bapanya.


Apabila hendak memetik, si-anak terus memekik "ada orang! ada orang!". Bapanya terperanjat dan lari lintang pukang bersembunyi di balik semak. Apabila anaknya turun dan mendapati tiada siapa di situ, si-bapa bertanya mana orangnya. Si-anak tadi memberitahu bapanya, "Allah ada, Allah melihat. Allah melihat apa yang saya buat. Sebab itu saya terjerit!"


Si-bapa terdiam malu mendengar kata-kata anaknya itu.



MORAL & IKTIBAR

  • Mengajar tauhid kepada anak sejak kecil lagi adalah fardhu ain
  • Taufiq dan hidayah adalah pemberian Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
  • Allah tidak suka kepada orang yang tidak mengamalkan apa yang dikatakannya
  • Kadang-kadang orang yang belajar lebih pandai daripada orang yang mengajar
  • Jangan lihat siapa yang berkata tapi dengar apa yang dikatakannya.
  • Ungkapan seperti 'Allah melihat apa yang kita buat' patut diterapkan dalam sanubari kita hingga benar-benar sebati dengan darah daging kita.
  • Ilmu agama khususnya bidang akidah lebih berkesan diberi semasa kecil
  • Orang senior perlu juga mendengar kata nasihat orang junior
  • Mengingat Allah menjauhkan kita dari melakukan maksiat

5 PERKARA YANG ELOK DISEBUT

kali ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain.

Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak.

Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...

~ Nota ~

Make your own at ProfilePitstop.com